Pages

Sunday 20 November 2011

Kesimpulan

Daripada teori-teori yang dibincangkan tadi, telah diterima umum bahawa adalah lebih berkesan lagi murid-murid mempelajari konsep matematik melalui pengalaman konkrit. Tugas guru ialah menyediakan berbagai-bagai situasi dan aktiviti dengan menggunakan alat-alat bantu mengajar untuk membekalkan pelbagai pengalaman konkrit kepada murid. Pengajaran guru hendaklah berpusatkan murid dan murid menjalankan aktiviti untuk menemui rumus, kesimpulan atau konsep matematik yang hendak disampaikan.

Disamping itu, guru hendaklah menggunakan pengetahuan yang sedia ada pada murid sebagai asas untuk menyampaikan konsep matematik yang baru. Guru harus juga mengetahui penguasaan murid terhadap topik yang diajar dahulu sebelum memulakan topik yang baru. Contoh-contoh matematik yang ditunjukkan seharusnya berkait rapat dengan kehidupan seharian murid supaya mereka berasa pembelajaran itu bermakna.

Satu faktor penting dalam pengajaran matematik ialah struktur yang terdiri daripada konsep dan petua dan dikaitkan dengan bahagian-bahagian yang lain. Hal ini menunjukkan betapa perlunya perancangan pengajaran matematik yang berbentuk jangka masa panjang. Selain itu, konsep matematik bolehlah diserapkan kepada mata pelajaran yang lain supaya murid-murid dapat mempelajarinya secara tidak langsung.Guru harus juga memastikan bahawa istilah dan bahasa matematik jelas dan mudah difahami oleh murid-murid, kerana hal ini memudahkan pengajaran matematik.

Dalam pengajaran guru, ciri-ciri spesifik, ciri-ciri persamaan dan perbezaan pada sesuatu topik patut diberikan penekanan untuk mengelakkan kekeliruan dan mengekalkan ingatan. Isi pelajaran juga disusun secara logik agar pemindahan pengetahuan menjadi mudah.

Pemberian latihan hendaklah berperingkat-peringkat kesukarannya, iaitu daripada yang mudah kepada yang susah, agar pembelajaran berlaku secara licin dan lebih berkesan.

No comments:

Post a Comment