Pages

Sunday 20 November 2011

Teori Pembelajaran Jean Piaget

Jean Piaget yang dilahirkan pada 9 Ogos 1896 di Switzerland, adalah ahli psikologi yang agung dalam bidang pendidikan. Beliau mendapat latihan awal dalam bidang biologi dan mendapat Ijazah Doktor  Falsafah dalam bidang biologi pada umur 22 tahun. Tetapi beliau lebih menumpukan  perhatiannya terhadap kajian perkembangan kognitif kanak-kanak. Sebelum meninggal dunia pada tahun 1980, beliau adalah Pengarah Pusat Antarabangsa Epistimologi Genetik di Geneva.

Telah diketahui umum bahawa perkembangan intelek murid bergantung kepada potensi semula jadi dan alam persekitaran yang meransangnya. Tugas guru ialah menyediakan alam persekitaran membina kepada murid supaya pemindahan pengetahuan dapat dilaksanakan dengan licin.

Jean Piaget telah banyak membuat kajian dan eksperimen dalam bidang psikologi pembelajaran kanak-kanak. Beliau berpendapat bahawa pemikiran kanak-kanak berbeza dari satu peringkat ke satu peringkat dan telah membahagikan perkembangan kognitif kanak-kanak kepada empat peringkat.

  •  Peringkat Deria Motor
Peringkat ini bermula dari masa lahir hingga ke umur dua tahun.  Kanak-kanak mengetahui alam sekitarnya melalui kesan deria dan gerak balasnya. Mereka mengetahui benda-benda wujud dalam alam persekitaran mereka secara fizikal dan bukan fizikal, tetapi tidak berfikir langsung kenapa benda itu wujud. Misalnya, kanak-kanak tahu ibu akan mendampinginya jika dia menangis. Dia juga mengetahui adanya perhubungan antara benda-benda. Misalnya, jika dia berasa lapar, dia menangis; jika hendak menaiki meja, dia akan menggunakan kerusi.

  •  Peringkat Pra-Operasi
Peringkat ini bermula dari umur dua tahun hingga keenam tahun. Pada peringkat ini, kanak-kanak lebih sosial dan menggunakan bahasa serta tanda untuk menggambarkan sesuatu konsep. Mereka masih tidak dapat membuat perbandingan antara benda, tidak mengetahui padanan satu dengan satu antara objek dan hubungan antara objek; tidak dapat mengelaskan objek-objek mengikut saiz, warna dan sebagainya. Tambahan pula, pemikiran mereka dipengarui oleh apa yang diamatinya.

Dalam eksperimen yang dijalankan oleh Piaget, kanak-kanak berumur antara empat tahun dan lima tahun diberikan tujuh cawan berbaris dengan sekumpulan telur.

Kanak-kanak disuruh menyusun telur sehingga sama panjang dengan cawan. Kemudian kanak-kanak diminta memasukkan telur ke dalam cawan untuk mengetahui bahawa bilangan telur lebih banyak daripada bilangan cawan. Telur yang berlebih disimpan balik dan kanak-kanak mengeluarkan telur dari cawan dan menyusunnya rapat-rapat sebagai satu garisan di depan cawan. Sekarang kanak-kanak itu menyatakan bilangan cawan lebih banyak daripada bilangan telur. Hal ini menunjukkan bahawa kanak-kanak pada peringkat ini tidak mampu mengerti padanan 1 dengan 1. Jawapan kanak-kanak semata-mata berdasarkan perbandingan diantara kedua-dua panjang yang ditunjukkan oleh cawan dan telur.

Eksperimen ini juga dijalankan juga untuk kanak-kanak berumur antara lima hingga enam tahun. Kanak-kanak dapat membina konsep padanan satu-satu dengan memasukkan sebiji telur ke dalam setiap sebiji cawan. Tetapi apabila telur dikeluarkan dan disebarkan sebaris secara longgar, kanak-kanak menyatakan bahawa bilangan telur lebih banyak daripada bilangan cawan. Ini menunjukkan bahawa kanak-kanak dapat membentuk konsep paduan 1-1 antara kedua-dua set tetapi tidak dapat mengekalkannya sebaik sahaja bentuk atau rupa diubah, iaitu operasi songsang tidak diamati oleh kanak-kanak. Kanak-kanak hanya dapat mempelajari satu perkara pada satu masa sahaja dan pemikirannya dipengaruhi oleh satu aspek pada satu masa. Piaget telah menjalankan satu eksperimen apabila kuantiti air yang sama dituangkan ke dalam dua silinder yang berlainan diameter dan tinggi
                                          
Kanak-kanak yang dipengaruhi oleh diameter menyatakan bahawa kuantii air pada Rajah (b) lebih banyak daripada kuantiti air, sedangkan kanak-kanak yang dipengaruhi oleh tinggi menyatakan kuantiti air pada lebih banyak daripada kuantiti air.

Jelaslah bahawa, daripada eksperimen ini kanak-kanak belum dapat menguasai konsep keabadian kuantiti.

  • Peringkat Operasi Konkrit
Peringkat ini bermula dari umur enam tahun hingga dua belas tahun. Kanak-kanak mula dapat mengekalkan konsep padanan 1 dengan 1 antara dua set; mereka dapat juga memahami konsep keterbalikan dan dapat membalikkan proses secara abstrak. Dalam eksperimen cawan dengan telur yang sama banyak, kanak-kanak berumur enam tahun menyatakan bahawa telur dan cawan adalah sama banyak, walaupun telur disebarkan jauh sebaris kerana semuanya dapat dimasukkan balik ke dalam setiap cawan.

Pada peringkat ini juga, kanak-kanak dapat mempelajari lebih daripada dua perkara pada satu masa dan dapat menguasai konsep keabadian. Dalam eksperimen menuangkan kuantiti air yang sama ke dalam dua silinder berukuran berbeza, kanak-kanak menyimpulkan bahawa kuantiti air tidak berubah walaupun bentuk berubah.

Selain itu, kanak-kanak mempunyai kebolehan mengelas, menyusun dan membezakan objek-objek. Mereka dapat juga memahami aritmetik asas, jisim, panjang, sifat transitif dan proses matematik. Tetapi pembelajaran berkesan masih bergantung kepada objek-objek konkrit dan pengalaman secara langsung.

  •   Peringkat Operasi Formal
Peringkat ini bermula daripada umur dua belas tahun. Kanak-kanak memasuki peringkat pemikiran abstrak. Mereka mempunyai kebolehan berfikir tanpa pengalaman konkrit, membuat kesimpulan dengan menstrukturkan situasi secara mental, misalnya, membuktikan teori-teori matematik. Selain itu, ia dapat menggunakan simbol-simbol matematik dan mengulas idea abstrak, mengaitkan satu konsep dengan konsep yang lain, memanipulasikan konsep secara mental dan menggunakan logik dalam menyelesaikan masalah.

No comments:

Post a Comment